Translate

25 May 2013

Rumah

video

Rumah Moden VS rumah Tradisional

RUMAH MODEN VS RUMAH TRADISIONAL













Membina rumah yang mesra alam atau rumah yang mempunyai ekologi (hubungan antara makhluk hidup dengan keadaan sekitarnya), bererti merancang pembangunan dengan pendekatan holistik. Ia bukanlah sesuatu yang sukar atau mahal untuk dicapai, dengan pengetahuan dan sedikit kreativiti, sesiapa saja mampu mewujudkan rumah yang mesra alam. Modal utama adalah kesedaran terhadap syarat-syarat keperluan keselesaan, alam sekitar dan kehendak diri sendiri, juga masyarakat. Rumah sebagai tempat menjalani kehidupan seharusnya dirancang dengan memerhatikan keseimbangan antara fizikal binaan, alam sekitar dan manusia sebagai penghuni.

Negara kita beriklim tropika, secara am, cuaca panas lembapnya agak sekata iaitu mengalami panas dan hujan sepanjang tahun. Jadi, proses merekabentuk rumah agak mudah dan tidak mempunyai banyak masalah jika dibandingkan dengan negara yang mempunyai empat musim.

Walau bagaimanapun, kebanyakan rumah di Malaysia kini lebih cenderung dibina dengan meniru model binaan negara lain yang belum tentu sesuai dengan cuaca di Malaysia. Mengikut gaya tertentu secara melulu mengakibatkan rumah direkabentuk dengan mengabaikan faktor cuaca tempatan dan menyebabkan rumah sukar disesuaikan dengan iklim setempat. Akibatnya, penghuni di dalam rumah menjadi tidak selesa, malah boleh mendapat gangguan kesihatan. Alangkah ruginya mempunyai rumah yang tersergam indah tetapi tidak selesa dan tidak kondusif untuk diduduki.

Faktor iklim memang tidak boleh diabaikan. Maklumat yang perlu diketahui untuk membina rumah termasuklah suhu, pancaran matahari, angin, kelembapan dan curahan hujan. Negara kita boleh dikatakan menerima hujan sepanjang tahun dengan kadar kelembapan yang tinggi. Disebabkan kadar kelembapan yang tinggi ini, kadar pengalihan udara panas adalah rendah. Pencahayaan pula dari bahagian atas dan sinar matahari memancar dari timur di pagi hari dan dari barat di waktu petang.

Rumah Melayu tradisional adalah contoh terbaik bagaimana tukang kayu dahulu memahami kehendak alam sekitar dalam merekabentuk rumah. Rumah Melayu tradisional mempunyai elemen rekabentuk terhadap cahaya matahari yang pasif, dianggap sebagai satu rekabentuk domestik yang unggul terhadap iklim panas lembap yang mempunyai peneduh yang cukup, bukaan yang banyak untuk aliran udara keluar masuk, susun atur dalaman terbuka, bertiang, ketinggian siling tinggi dan penggunaan bahan binaan ringan yang tidak memendapkan haba.

Binaan rumah tradisional bukan saja tertumpu pada binaan bangunan tetapi menitik beratkan susun atur bangunan yang hendak didirikan. Apabila dikaji, rumah-rumah tradisional dibina secara bersilang atau secara rawak susunannya kerana bertujuan untuk membenarkan laluan angin melepasi setiap rumah. Ini tidak berlaku pada binaan rumah teres pada masa kini yang mana menghalang pergerakan laluan angin.

Perancangan secara tradisional juga mengambil kira elemen persekitaran yang boleh menyumbang kepada penyamanan udara semula jadi. Antara elemen berkenaan adalah tumbuh-tumbuhan yang ditanam di sekeliling rumah. Sebagai contoh, pokok kelapa begitu sinonim dengan masyarakat Melayu, bukan hanya kerana kegunaannya yang pelbagai tetapi kewujudannya di sekitar kawasan rumah Melayu dahulu bukan saja memberi teduhan tetapi tidak menghalang laluan angin pada aras rumah mereka.

Binaan beranda terbuka dan cucur atap yang memanjang adalah cara kawalan yang baik terhadap pancaran cahaya dan silau matahari. Rekabentuk yang terdapat pada rumah tradisional ini boleh diadaptasikan pada rekabentuk dan binaan rumah moden sekarang. Konsep keterbukaan pula masih boleh dihadirkan dalam rumah moden dengan membuat beranda atau elemen tersebut digunapakai sebagai pengganti ruang tamu. Meskipun rumah moden dibina atau direkabentuk dengan memakai bahan-bahan moden dengan penataan ruangan yang moden, konsep keterbukaan masih tetap dapat diaplikasikan. Pada rumah moden, kesan moden biasanya kelihatan pada penggunaan bahan binaan baru seperti konkrit, kaca, alumunium, dan sebagainya. Penampilan gaya tradisional masih boleh dihadirkan, misalnya dengan menggunakan elemen bahan kayu yang diukir bergaya tradisional.


KEISTIMEWAAN RUMAH TRADISIONAL



Membina rumah di iklim tropika seperti di negara kita ini hanya boleh dilakukan dengan baik jika kita memahami dan memerhati suasana keadaan sekitar yang dipengaruhi faktor alam seperti :

> Menggalakkan pengaliran dan pengalihan udara.

> Penggunaan pencahayaan semula jadi.

> Penggunaan curahan air hujan.

> Mengurangkan penerimaan pancaran matahari dan tempias hujan.

> Rekabentuk rumah yang jimat tenaga.

> Penggunaan bahan bangunan yang mesra alam.

Rumah Melayu tradisional mencerminkan cara hidup dan sikap orang Melayu yang terbuka.Salah satu karakter rumah Melayu adalah penghayatan pada hubungan bermasyarakat dan keluarga. Dengan adanya beranda, konsep terbukanya sesuai untuk menyambut tetamu pada bila-bila masa dengan bebas di beranda tersebut. Kerangka atau struktur rumah pula menggunakan sistem tebuk-tembus dan pasak yang tidak memerlukan paku. Pembinaan rumah Melayu sebegini sebenarnya mempunyai konsep sistem pasang-siap, rumah boleh ditanggal-buka dan dipasang semula di tempat lain. Selain itu, cara binaan tanpa paku ini juga membuatkan rumah lebih anjal (flexible), sehingga ianya boleh diangkat secara gotong- royong untuk dialihkan ke tempat lain. Secara amnya, rumah ini diperbuat daripada kayu dan bertiang. Dinding diperbuat daripada kayu atau anyaman buluh dan beratapkan rumbia/nipah atau kayu. Bahan-bahan inilah yang menjadikan rumah Melayu berkait rapat dengan alam semulajadi. Kesemulajadian ini membuatkan kesan ramah dan menyegarkan terpancar dari rumah Melayu. Tingkap biasanya akan mendominasi segenap sudut pandangan rumah dan memberikan pengaliran udara yang secukupnya ke dalam rumah. Ruang dalaman mempunyai ruang terbuka yang luas dan mempunyai dinding pemisah yang minima.

 
Faktor cuaca memainkan peranan dalam asas rekabentuk rumah Melayu. Kekerapan hujan menghasilkan rekabentuk atap yang lebih cerun dan rumah bertiang tinggi untuk mengelakkan tenggelam apabila banjir. Cuaca yang panas menyumbang kepada rekabentuk yang lebih terbuka seperti membina tingkap yang banyak dan beranda. Ruang-ruang antara tiang pula memberi laluan angin di bahagian bawah rumah. Untuk mengurangkan lagi kepanasan, lubang angin di atas tingkap dan bumbung juga telah direka untuk menambah keselesaan.


Kehadiran Islam juga telah sedikit sebanyak mempengaruhi rekabentuk rumah Melayu,misalnya orientasi binaan dihadapkan mengarah ke kiblat. Kehadiran penjajah Barat pula telahmengubah teknik seni bina Melayu dengan memberikan alternatif baru kepada bahan binaanyang digunakan. Sebagai contoh, zink dan atap genting telah mengambil alih kegunaan ataprumbia dan kayu, bata dan simen telah menggantikan kayu sebagai tiang, tangga dan dinding, paku menggantikan pasak kayu dan akar sebagai penghubung/pengikat. Pengaruh ini boleh diambil secara positif atau negatif oleh masyarakat umum, ianya adalah pertembungan dua unsur; antara praktikal atau mengekalkan kesenian teknik binaan rumah Melayu. Seni bina
Melayu adalah kesan daripada pertembungan budaya kaum yang pernah mendominasi rantau ini seperti Bugis, Riau, Jawa, Acheh, Minangkabau, Siam, Cina dan Barat.

 
RUMAH MODEN

  • Rumah banglo

  • Rumah teres





  • Kondominium







    Jenis Petempatan Awal Manusia


    Manusia Hidup Berpindah-randah
    Manusia berpindah-randah untuk mendapatkan sumber makanan. Mereka memperoleh makanan dengan cara memungut hasil hutan seperti buah-buahan dan pucuk-pucuk daun.





    Mereka juga berpindah ke tempat lain untuk berburu binatang. Mereka makan daging binatang. Kulit binatang dibuat pakaian dan alas tempat tidur. Tulang binatang pula dijadikan senjata. 


    Walaupun begitu, mereka juga berpindah apabila ada kematian. Mereka beranggapan bahawa tempat itu tidak lagi sesuai dijadikan tempat tinggal.

      


    Keistimewaan Manusia Tinggal di Persekitaran Gua
    Apabila manusia tinggal di persekitaran gua, mereka dapat menyara hidup dengan berburu binatang. Binatang yang ditangkap akan dipanggang. Mereka juga dapat memungut hasil hutan dan pucuk-pucuk kayu. Gua yang sedia ada dapat dijadikan tempat berlindung daripada hujan dan panas dan ancaman binatang buas.




    Tempat Kediaman Petempatan Awal

    Apabila manusia mendiami kawasan lapang, pinggiran sungai atau tasik, mereka membuat pondok dan ran. Pada asalnya pondok dan ran yang dibina adalah mudah. Lama-kelamaan mereka dapat membina pondok dan ran yang lebih baik dan kukuh. 


    3 Dec 2012

    Objektif Kajian Tempatan

    Kurikulum Kajian Tempatan Sekolah Rendah membolehkan murid:

    1. mengetahui dan memahami peranan, tanggungjawab dan hak sebagai anggota dalam keluarga dan masyarakat ;
    2. memahami dan menghargai keadaan fizikal setempat dan negara;
    3. mengenali dan memahami ciri-ciri masyarakat setempat dan negara;
    4. memahami dan menyedari perkembangan dan perubahan masyarakat setempat dan negara;
    5. mencintai dan menghargai alam sekitar;
    6. mengenali tokoh-tokoh dan menghargai sumbangan mereka dalam memperjuangkan kedaulatan, kemerdekaan dan pembangunan;
    7. memahami dan menghargai sejarah negara;
    8. menguasai kemahiran belajar, kemahiran sosial dan kemahiran berfikir;
    9. menghargai keperibadian bangsa dan mempunyai semangat patriotik; dan
    10. mensyukuri segala nikmat Tuhan.

    HSP Kajian Tempatan

    Tahun 4
    Tahun 5